Salah seorang daripada pendaki tersebut yang menolak untuk memberikan kenyataan kepada Utusan Malaysia mengatakan dia sudah 'penat' ekoran daripada celaan yang dihadapinya.
"Saya tak nak beri keterangan langsung kat media. Saya penat kena kecam macam saya bunuh orang. Maaf," ujarnya singkat melalui aplikasi WhatsApp semalam.
Ditanya adakah dia akan datang untuk memberi keterangan kepada pihak polis, dia hanya menjawab: "Ada, nanti saya fikir."
Sementara itu, pemerhatian di laman Instagram gadis 23 tahun itu juga mendapati semua foto dan video yang menunjukkan aksi bersama kawan-kawan yang lain memanjat mercu tanda 'IPOH' telah dihapus selepas ia viral di laman sosial.
Gadis yang menjalankan bisnes dalam talian itu difahamkan sangat suka melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit, scuba diving dan mengembara.
Aksi gadis dengan sekelompok rakan-rakan yang rata-rata terdiri dari gadis yang memanjat mercu tanda 'IPOH' dianggap cukup berbahaya kerana ia berada pada ketinggian 61 meter yang dipasang pada batu kapur.
Bahkan, mercu tanda 'IPOH' tersebut terdiri daripada binaan enam meter-tinggi, membuatkan mereka berada pada ketinggian 67 meter tanpa menggunakan alat keselamatan.