Menurut laporan Harian Metro, seminggu sebelum insiden tersebut, arwah dikatakan pernah meluahkan kehendaknya kepada keluarga untuk berhenti kerja kerana tertekan dengan tugas yang dihadapi.
Ibu mangsa, Noraida Jalalludin, 55, mengatakan dia dan Syamir telah berjumpa kali terakhir pada 27 Mei lepas di mana arwah telah balik ke rumah setelah menyertai kursus selama dua minggu di ibu kota dan sepanjang tempoh berkenaan mangsa kelihatan murung.
"Apabila ditanya dia memaklumkan tertekan dengan tugas dan mahu berhenti kerja tetapi saya bersama suami menasihatkan supaya dia fikir terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan.
"Selepas dia kembali bertugas di IPD Pasir Puteh, saya ada berhubung dengan Syamir iaitu sebelum berbuka puasa, kira-kira jam 7 malam, semalam.
"Menerusi perbualan telefon itu, dia hanya maklumkan perkara sama sehingga membuatkan saya tidak lena tidur kerana memikirkannya dan saya cuba hubungi dia pada jam 11 malam serta 4 pagi tetapi gagal sebelum dimaklumkan oleh pihak polis mengenai kejadian," ujarnya sewaktu ditemui di rumahnya di Taman Desa Sentosa Dusun Tua, Hulu Langat, semalam (1/6).
Menurut ibu mangsa, arwah merupakan seorang anak yang baik dan taat kepada keluarga.
Katanya, dia terkilan dengan apa yang berlaku dan berharap siasatan terperinci dapat dijalankan oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca kematian.