Beberapa orang penghuni pangsapuri 24 tingkat tersebut menceritakan, mereka tidak mendengar penggera apabila api mula menjilat bangunan tinggi di barat London tersebut.
Sebaliknya, mereka dikejutkan oleh warga penghuni, beberapa di antaranya adalah warga Muslim yang bangun untuk bersahur. Warga Muslim antara orang pertama yang menyedari kebakaran yang berlaku itu.
Api mulai marak tidak lama selepas tengah malam dan ketika penghuni blok pangsapuri itu sedang tidur.
Warga Muslim antara yang pertama berada di tempat kejadian saat penghuni sedang dipindahkan dari Menara Grenville.
Andre Barroso, 33 tahun, berkata kepada The Independent, "Muslim memainkan peranan besar dalam membantu orang ramai keluar.
"Sebahagian besar orang yang saya lihat adalah Muslim, mereka juga telah menyediakan makanan dan pakaian."
Barroso berkata ketika itu ramai orang masih mencari rakan dan saudara-mara yang tinggal di dalam bangunan itu.
Ramai orang telah menyumbangkan air, makanan dan pakaian ke Gereja St Clement berhampiran di mana penduduk setempat mendapatkan perlindungan. Ada yang mengedarkan botol air kepada orang-orang yang menunggu di luar.
Dalam satu video yang dimuat naik oleh Facebook Ilmfeed, seorang wanita menceritakan detik cemas ketika kebakaran berlaku dan bagaimana orang-orang Muslim membantu.
"Mereka (anti-Muslim) mahu bercakap tentang mereka (Muslim) apabila mereka (Muslim) berbuat salah dan perkara seperti itu, apabila mereka (Muslim) berbuat baik...
"Mereka adalah orang pertama dengan berbeg-beg air, memberikan kepada orang dan membantu orang.. Berlari dan memaklumkan kepada orang, di mana-mana," katanya dengan nada tinggi.
Laporan terbaru mengatakan kira-kira enam mangsa maut dalam kebakaran pangsapuri London. Pada masa ini terdapat mangsa yang mengalami luka kini sedang dirawat di hospital.