-->

Thursday, 22 June 2017

Mohammed Bin Nayef, Putera Mahkota Didikan AS Yang 'Digulingkan' Saudi



Anak saudara Raja Salman berusia 57 tahun, Mohammed bin Nayef bin Abdulaziz Al Saud adalah seorang putera mahkota sehingga beliau digantikan oleh sepupunya, Mohammed bin Salman, sebagai pewaris takhta.

Penyebab rombakan kabinet baru-baru ini yang membuatkan Mohammed bin Nayef tersingkir masih misteri. Dalam rombakan kabinet itu, bekas putera mahkota itu juga dilepaskan dari semua jawatannya, termasuk timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

"Saya berpuas hati," kata Putera Mohammed bin Nayef mengenai pelantikan sepupunya sebagai putera mahkota, sambil menambah: "Saya akan berehat sekarang, semoga Tuhan membantu kamu".

Dengan bertahun-tahun pengalaman dalam kerja perisikan, dan memainkan peranan utama dalam dasar keselamatan dalaman Saudi, Mohammed bin Nayef telah dipanggil "putera melawan teroris".

Penganalisis berpendapat bahawa Mohammed bin Nayef juga merupakan yang paling pro-Amerika dalam kepimpinan Saudi, yang tidak seperti bapanya, mengetuai pertempuran melawan al-Qaeda.

Beliau bersekolah di Amerika Syarikat, mengambil kursus di Kolej Lewis & Clark tetapi tidak menerima ijazah. Pada akhir 1980-an, Mohammed bin Nayef belajar di Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebelum menggantikan kedudukan ayahnya di Kementerian Dalam Negeri. Beliau juga mengambil kursus "melawan-keganasan" di Scotland Yard.

Sebelum serangan 11 September di Amerika Syarikat, Mohammed bin Nayef telah menjalinkan hubungan dengan pegawai AS sebagai tokoh yang dihormati dalam "perang terhadap keganasan".

Beliau mengetuai tindakan keras terhadap al-Qaeda di Arab Saudi antara 2003 dan 2007, di mana berlaku serangan ke atas ibu pejabat keselamatan, sebilangan kediaman asing dan bangunan kerajaan yang membunuh berpuluh-puluh pegawai keselamatan dan warga asing.

Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) menganggap Mohammed bin Nayef sebagai kunci untuk mengalahkan al-Qaeda.

George Tenet, bekas pengarah CIA, menggambarkan Mohammed bin Nayef sebagai "pendialog paling penting" agensi itu.

Pada tahun 2009, Mohammed bin Nayef terselamat daripada cubaan bunuh oleh al-Qaeda setelah bersetuju bertemu dengan Abdallah Asiri, anggota al-Qaeda yang mendakwa dirinya sebagai bekas pejuang yang 'bertaubat'. Semasa mesyuarat di Jeddah, Asiri meletupkan rompi (vest) bunuh diri, tetapi akhirnya hanya mampu mencederakan Mohammed bin Nayef.

Sejak itu, Mohammed bin Nayef kekal teguh menjaga keselamatan dalaman negara. Terdapat banyak penangkapan suspek al-Qaeda dan anggota ISIL sejak itu. Ketahanan hidupnya menghadapi usaha pembunuhan di Arab Saudi 
menyebabkan ramai menganggapnya sebagai pahlawan.

Beliau dilantik menteri dalam negeri pada tahun 2012 dan timbalan perdana menteri pada tahun 2015, selepas itu beliau beralih ke tugas yang lebih rendah, memandangkan Mohammed bin Salman, putera yang baru dinobatkan, membina lebih banyak tugas penting sebagai arkitek perang Yaman .

Pada tahun 2017, Mohammed bin Nayef telah dianugerahkan pingat oleh pengarah CIA yang baru untuk menghargai sumbangannya untuk "kerja melawan-keganasan".

Sumber: Al Jazeera, Wikipedia.org

Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->