Foto: NST oleh Junaidi Ladjana
Suasana menjadi bertambah pilu setelah anak yang didukungnya itu turut menangis melihat mayat bapanya.
Isteri mangsa yang segera ke lokasi nahas sebaik saja menerima makluman tentang kemalangan tersebut dikatakan tidak mampu menahan sebak setelah melihat mayat suaminya, Baharudin Madzukil, 33, bergelumang darah dengan dilitupi kain.
Wanita itu kemudian cuba ditenangkan oleh beberapa orang ramai sebelum ibu mangsa yang tiba di lokasi kemalangan juga menangis setelah melihat keadaan mayat anaknya.
Menurut laporan, ketika nahas berlaku mangsa dalam perjalanan kembali ke rumahnya di Sepanggar.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan awal mendapati insiden itu membabitkan Perodua Axia dan sebuah motosikal.
"Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 57 tahun dari Tuaran itu sedang menuju ke Kota Kinabalu. Apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal terlanggar bahagian tepi kanan kenderaan itu yang keluar simpang untuk membuat pusingan U.
"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Perodua Axia cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, siasatan lanjut masih dilakukan dan mayat mangsa di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE) bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.