(Foto: mynewshub.cc)
KOTA BARU: Seorang pegawai polis dijumpai mati dengan kesan tembakan di kepala di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan, hari ini (1/6), lapor The Star.
Inspektor Ahmad Al-Syamir Sharif Folidin ditemui mati berada di kerusi pada jam 9.40 pagi Khamis oleh pegawai yang mencarinya selepas beliau tidak menghadiri mesyuarat pagi tadi di IPD.
Mangsa dipercayai disyaki telah ditembak dengan pistol Walther P99.
Polis Daerah Pasir Puteh mengesahkan kejadian itu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mangsa sepatutnya hadir mesyuarat peringkat daerah 9 pagi tadi namun tidak hadir sebelum seorang anggota mencari dan menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas kerusi serta kesan darah di bawah kerusi.
"Antara jam 4 hingga 5 pagi, jiran mangsa (rakan setugas) ada mendengar bunyi tembakan, namun tidak mengesyaki apa-apa.
"Pada 9 pagi, kita menemui jasad mangsa sebelum disahkan meninggal dunia," katanya seperti dipetik dari Harian Metro.
Inspektor Ahmad yang berasal dari Selangor merupakan seorang pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh sejak 8 Mei tahun lepas.