-->

Saturday, 17 June 2017

Kisah Nabi Ibrahim A.S, Utusan Allah Yang Tidak Mati Dibakar Api


(Foto Ilustrasi)

Nabi Ibrahim a.s merupakan nabi ke-6 dalam sejarah Rasul Allah yang wajib diketahui umat Islam. Sebagai seorang utusan Allah, tanggungjawab Nabi Ibrahim a.s sangatlah besar. Baginda dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah yang musyrik dan kufur. Nabi Ibrahim dilahirkan pada tahun 2295 sebelum Masihi di negeri Mausul.

Malangnya, bapa Nabi Ibrahim 
a.s adalah pengukir patung berhala untuk dijual kepada orang ramai untuk disembah. Ditambah lagi, kaum jahiliyah pada zaman Nabi Ibrahim mempunyai seorang pemerintah bernama Raja Namrud yang dengan sombongnya mengaku bahawa dirinya adalah Tuhan Semesta Alam. Anehnya, ramai sekali yang percaya pada pengakuannya tersebut.

Kehidupan Nabi Ibrahim Ketika Kecil


Ketika baru lahir, Nabi Ibrahim dibuang ke hutan di dalam sebuah gua yang mustahil akan dijumpai orang. Ia dilakukan untuk menyelamatkan baginda kerana pada zaman itu Raja Namrud mengeluarkan arahan untuk membunuh setiap bayi lelaki yang lahir setelah bermimpi akan lahirnya seorang budak yang akan menjatuhkan kerajaannya yang besar.

Namrud melakukan perkara itu kerana dirinya tidak mahu digantikan oleh sesiapa di muka bumi ini sebagai penguasa. Oleh kerana itu, orang tua Nabi Ibrahim membuangnya ke dalam sebuah hutan. Allah telah menunjukkan kuasanya dengan menyelamatkan Nabi Ibrahim dari segala macam bahaya di dalam hutan.

Baginda membesar di dalam hutan sendirian dengan menghisap jarinya. Jarinya mengeluarkan air susu dan madu. Dengan izin Allah, Nabi Ibrahim cepat membesar. Ketika ibunya melawat Nabi Ibrahim, ibunya terkejut dengan keadaan Nabi Ibrahim. Ketika mana Nabi Ibrahim mampu bercakap, soalan pertama baginda bertanya kepada ibunya adalah "Siapa tuhan kita wahai ibu?".

Selepas Nabi Ibrahim kembali bergaul dengan masyarakat, baginda melihat semua orang seperti gila pada patung. Hampir setiap rumah dan tempat-tempat awam dipenuhi patung berhala agar dapat menyembah setiap masa. Termasuk di rumah ayahnya yang memang bekerja sebagai pengukir patung berhala.

Nabi Ibrahim bertanya kepada dirinya. Di manakah Tuhan itu? Siapa yang dinamakan Tuhan? Kemudian Allah memberikan kepada Nabi Ibrahim sebuah pemikiran bijak, sekaligus mengutusnya sebagai penyampai kewujudan Allah SWT serta mengajak semua manusia untuk senantiasa bertakwa kepada Allah SWT dan meninggalkan berhala.

Nabi Ibrahim a.s Mencari Tuhan


Berkali-kali Nabi Ibrahim a.s bertanya siapa sebenarnya Tuhan? Benarkah berhala itu adalah Tuhan? Atau Raja Namrud yang berkuasa itu adalah Tuhan?

Kemudian baginda melihat bulan dan bintang di malam hari, matahari di siang hari, baginda berkata, "Mungkinkah itu Tuhan?"

Namun te
rnyata, bulan dan bintang menghilang dan matahari terbenam, lalu baginda berkata, "Aku tidak akan bertuhan kepada benda-benda seperti itu."

Allah SWT pun berfirman dalam Surat Al-An'am ayat 76-79:

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".

(Al-An'aam 6:76) |

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".

(Al-An'aam 6:77)


Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

(Al-An'aam 6:78)

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".

(Al-An'aam 6:79)


Baginda meyakini bahawa bukan berhala-berhala itu Tuhan semesta alam. Allah kemudian memerintahkan kepada Nabi Ibrahim untuk mengajak orang menyembah pada Allah SWT, bukan lagi patung berhala.

Nabi Ibrahim a.s cenderung kepada agama tauhid dan menyatakan bahawa agama-agama lain adalah sesat. Baginda bukanlah termasuk golongan orang-orang yang musyrik, malah baginda seorang yang berserah diri kepada Allah SWT semata-mata.

Nabi Ibrahim Memalukan Raja Namrud Di Hadapan Pengikutnya

Pada suatu hari Raja Namrud melakukan perjalanan keluar bandar bersama sebahagian besar pengikutnya. Wilayah kekuasaan Namrud pun hampir kosong. Selepas itu Nabi Ibrahim masuk dan memusnahkan semua berhala yang ada di wilayah Namrud. Semua patung-patung dihancurkan, walaupun baginda tahu itu adalah ukiran bapanya sendiri.

Nabi Ibrahim a.s hanya meninggalkan satu berhala yang paling besar. Kemudian baginda meletakkan kapak yang dipakai untuk menghancurkan patung-patung lain di pangkuan
 satu-satunya berhala yang tinggal.

Setelah beberapa hari, Raja Namrud mendapat tahu bahawa semua berhalanya musnah dan murka. 

"Siapa yang melakukan semua ini di belakang saya?!" teriaknya kepada pengikutnya. Salah seorang pengikutnya yang kebetulan tidak turut pergi bersama Namrud mengatakan bahawa ada seorang pemuda bernama Ibrahim yang melakukan itu semua. Dipanggillah Nabi Ibrahim untuk menghadap Raja Namrud.

Si Raja berkata dengan marah: "Wahai Ibrahim, adakah engkau yang telah menghancurkan berhala-berhala ini?"

"Bukan!" jawab Nabi Ibrahim singkat. Mendengar jawapan itu, Raja Namrud semakin marah lalu berkata: "Jadi siapa lagi kalau bukan engkau, bukankah kau berada di sini ketika kami pergi dan bukankah engkau membenci berhala-berhala ini?"

"Ya, tapi bukan aku yang memusnahkan berhala-berhala itu. Aku fikir, berhala besar itulah yang menghancurkannya, bukankah kapaknya masih berada di lehernya?" jawab Nabi Ibrahim dengan tenang.

Raja Namrud membantahnya: "Mana mungkin patung berhala dapat berbuat seperti itu!". Mendengar hal itu dengan tegas Nabi Ibrahim berkata: "Jika begitu, kenapa engkau menyembah berhala yang tidak dapat berbuat apa-apa?"

Mendengar jawapan Nabi Ibrahim, para pengikutnya tersedar dan terfikir bahawa Tuhan yang selama ini mereka sembah tidak dapat melihat, mendengar, dan bergerak. Walau bagaimanapun, Raja Namrud semakin murka.

Nabi Ibrahim a.s Dibakar

Kerana marah dan kesalnya Raja Namrud, akhirnya dia memerintahkan para tenteranya untuk menghukum Nabi Ibrahim dengan hukuman berat. Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman mati dengan dibakar hidup-hidup.

Api yang dinyalakan sangat besar dengan kayu sebagai bahan bakarnya, sementara Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu. Tetapi Allah lebih berkuasa dalam segala hal. Allah belum menghendaki Nabi Ibrahim mati dan kalah di tangan Raja Namrud.

Menyaksikan Nabi Ibrahim dibakar, Raja Namrud dan para pengikutnya ketawa dengan penuh kepuasan. Mereka menyangka Nabi Ibrahim telah hancur menjadi abu bersama api itu. 

Sewaktu Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Terdapat seekor burung pipit yang berasa kasihan menyaksikan baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu ingin membantu Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air itu di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat tindakan burung pipit.

"Wahai pipit, apa yang engkau ingin buat?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu menolong Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," kata burung pipit.

"Bagaimana kamu ingin padamkan api itu. Kamu tidak boleh membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Tidak ada gunanya usaha kamu itu," kata burung lain pula.

Walau bagaimanapun, burung pipit tidak endah dan menyambung usahanya untuk menolong Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang membara. Dengan izin Allah, api yang membara itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai mendekati unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.

Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu tanpa apa-apa kecederaan. Badannya sedikitpun tidak melecur.

Itulah kekuasaan yang Allah tunjukkan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Sumber: Utusan Malaysia, Ustaz Nazmi Kazim, Wikipedia


Next article Next Post
Previous article Previous Post
 
-->