Pang, 34, mendapat perhatian selepas imej MyKad dia menjadi viral kerana dikatakan mempunyai paras rupa yang tidak sepadan dengan namanya.
Penyokong pembangkang mendakwa Pang adalah seorang Bangladesh kerana dia tidak kelihatan seperti Cina.
Menjelaskan salah faham tersebut, kata jurucakap JPN, pemilik MyKad itu adalah seorang yang berasal daripada kaum India.
"Dia merupakan anak angkat kepada ibu bapa berketurunan Cina," jelas jurucakap JPN kepada Sinar Online.
Sebelum ini, The Star melaporkan bahawa sebuah pasukan telah melawat alamat Segamat Baru yang tertera pada MyKad dan mendapati bahawa Pang dibesarkan oleh keluarga angkat Cina sejak dia dilahirkan.
Sepupunya yang mahu dikenali sebagai Susan berkata bahawa Pang telah diambil dan dibesarkan oleh mendiang bapa saudaranya.
"Dia dan saya adalah sepupu. Tetapi apabila bapa saudara saya meninggal dunia kira-kira 25 tahun yang lalu, ibu bapa saya mengambil dan menjaga dia. Dia meninggalkan rumah kami kira-kira enam tahun yang lalu.
"Kali terakhir kami bertemu adalah kira-kira tiga tahun lalu di Hospital Kuala Lumpur di mana dia dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang," katanya kepada The Star.
Dia menambah bahawa mereka terputus hubungan selepas itu.
Susan berkata bapa saudaranya memberikan Pang nama Cina selepas dia diangkat daripada keluarga kandung berbangsa India di Simpang Renggam.
Dia berkata Pang mulanya mempunyai nama India, dan bapa saudaranya telah meminta kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membolehkan dia untuk menukar kepada nama Cina.
Pang boleh bercakap fasih dialek Mandarin, Hakka dan Kantonis dan pergi ke sekolah rendah Cina yang sama seperti Susan.
"Menurut ibu saya, Pang telah diangkat oleh bapa saudara saya dan isterinya untuk membantu meringankan beban keluarga kandungnya," katanya, sambil menambah bahawa mendiang bapa saudaranya juga mempunyai dua orang anak perempuan.
Dia berkata lelaki dalam MyKad itu sememangnya rakyat Malaysia dan berharap semua pihak akan berhenti berkongsi posting itu di media sosial.